Pengenalan
Pemeliharaan ikan hiasan telah menjadi suatu kegiatan yang amat popular pada masa kini. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai suatu sumber pendapatan sampingan yang lumayan kepada penggemar ikan hiasan. Terdapat pelbagai jenis dan spesis ikan hiasan yang boleh dipelihara samaada didalam akuarium ataupuan di kolam hiasan. Selain itu, dengan memelihara ikan hiasan juga dapat memberikan beberapa kebaikan dan kelebihan yang lain.
Kelebihan memelihara ikan hiasan
Sebagai Hiasan
Memelihara ikan hiasan dapat mengindahkan ruang kediaman dan kawasan luar kediaman. Bagi sesetengah orang, dengan meletakkan ikan hiasan di satu sudut rumah boleh mencantikkan ruang kediamannya. Ia adalah sebagai salah satu aksesori tambahan di dalam rumah. Selalunya akuarium akan diletakkan di satu sudut di ruang tamu. Ikan yang diisi adalah ikan yang bersaiz kecil atau sederhana. Manakala bagi yang membina kolam diluar kediaman, ia tentulah diisi dengan pelbagai jenis ikan hiasan seperti ikan kap atau ikan yang bersaiz sederhana atau besar.
Sebagai sumber pendapatan
Menternak ikan hiasan juga boleh mendatangkan keuntungan kepada sesiapa yang menjalankaan kegiatan ini. Ini adalah disebabkan penjagaan yang rapi sejak dari awal pembiakan sehinggalah kepada menjualnya semula kepada pembeli yang berminat. Penjagaan rapi ini perlu kerana untuk memastikan kualiti ikan hiasan sentiasa berada di tahap terbaik. Ikan yang berada dalam tahap terbaik tentulah akan dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi.
Sebagai satu cara rawatan terapi minda
Bagi sesetengah orang, pemeliharaan ikan hiasan boleh juga dijadikan sebagai satu medium terapi untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi seharian seperti ketika bekerja, bersukan dan sebagainya. Kadangkala kita boleh melihat ada orang bercakap dengan ikan hiasan mereka, kerana bagi orang sebegini mereka menganggap bahawa ikan hiasan mereka boleh mendengar dan memahami luahan hati mereka. Selain itu, bentuk badan dan warna ikan hiasan yang cantik juga dapat menyumbang kepada ketenangan jiwa.